OFFICIAL PORTAL
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY
PRIME MINISTER'S OFFICE

News

Previous Next

Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana (HADR) Malaysia Ke China Berikutan Isu Kluster Penyakit 2019-nCoV

Kenyataan Media

Misi Bantuan Kemanusiaan Dan Bencana (HADR) Malaysia Ke China Berikutan Isu Kluster Penyakit 2019-nCoV

Yab Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat

4 Februari 2020, Putrajaya – Pagi ini pesawat Air Asia AK 8265 daripada Wuhan, China telah selamat mendarat di KLIA pada jam 6.00 pagi membawa pulang 133 orang iaitu 107 orang yang dibawa balik daripada Wuhan, 8 petugas misi dan 6 pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 krew AirAsia

Semua 107 orang iaitu, 88 rakyat Malaysia dan 19 pasangan/anak mereka bukan warga negara telah pun melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat. Walaupun sebelum ini dimaklumkan jumlah yang berdaftar dengan kedutaan Malaysia di China untuk kembali ke Malaysia adalah 141, tetapi jumlah sebenar yang hadir untuk menaiki pesawat adalah 107.

Menurut Wisma Putra, sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik. Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang.

Semua urusan di dalam pesawat dilakukan oleh pasukan Perubatan dan Pasukan Kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebaik mendarat mereka dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, 2 orang tidak melepasi tapisan kesihatan tersebut dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL)

Setelah selesai tapisan kesihatan di ADU, 105 orang telah dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akedemi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Pusat Pemantauan ini akan diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Di sini perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja. Selain petugas kesihatan tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga. Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini. Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis.

Saringan kesihatan akan dibuat dua (2) kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.

Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan mereka dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui.

Kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia dan pasangan/anak mereka ini berjalan lancar dan semua selamat tiba di bumi Malaysia.

 

Dikeluarkan oleh:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
4 Februari 2020

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 6 & 7, Blok D5, Kompleks D,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Wilayah Persekutuan
Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung
Pengunjung

Search